Saturday, October 31, 2009

“Begitulah ceritanya bagaimana aku boleh berada di sini sekarang. Aku yang melepaskannya daripada menerima hukuman, tetapi aku pula yang menerimanya. Dan hukuman itu aku terima dari tangannya sendiri. Ya, wanita persis arwah isteriku itu telah menembakku pada hari kejadian. Dan kerana dialah aku berada di sini”, ujar Tuah kepada teman yang baru dikenalinya itu. “Ceritaku sudah berakhir, sekarang giliran kau pula. Bagaimana kau boleh berada di sini?”. “Aku terlibat dalam sebuah kemalangan ngeri dan aku telah terbunuh dalam kejadian itu. Aku akan ceritakan bagaimana peristiwa itu terjadi apabila kita bertemu kembali esok”.
Tamat..

Selamat jalan...



Malam ini si dia akan bertolak pulang ke negeri kelahirannya, Perlis. Cuti seminggu yang diperolehi dimanfaatkan sepenuhnya dengan pulang ke kampung halaman untuk bertemu dengan ayahanda tercinta yang sudah sekian lama tidak bersua muka. Pasti ayah merinduimu. Hati bergolak ingin turut serta, namun apakan daya peperiksaan masih belum melabuhkan tirainya. Hasrat yang menggila perlu dipendamkan demi sebuah kejayaan. Kudoakan perjalananmu dalam rahmat Ilahi. Semoga selamat pergi dan kembali. Walau tak mampu ucap salam perpisahan, pasti kukira detik bertemu kembali...

Friday, October 30, 2009

“Bang!Bang!”. Suasana sunyi dan tenang malam itu dibingitkan dengan bunyi tembakan. Pasukan polis di bawah pimpinan Inspektor Tuah sedang berbalas tembakan dengan sekumpulan pengedar dadah yang bersembunyi di rumah itu. Mereka tidak mahu menyerah diri apabila diminta berbuat demikian sebaliknya melancarkan serangan ke arah anggota polis. Adegan tembak-menembak tersebut berlanjutan selama 20 minit sebelum keadaan kembali sunyi. Empat daripada lima penjenayah tersebut telah terbunuh dalam kejadian itu. Anggota polis menyerbu masuk ke kawasan persembunyian mereka untuk memburu seorang lagi penjenayah yang dikhuatiri melarikan diri. Tiba-tiba.. Bang! Satu tembakan dilepaskan dan tepat mengenai dada Tuah. Darah bersemburan dan Tuah rebah ke bumi. Seorang anggotanya datang memangku kepalanya sambil meminta agar dia bertahan sementara menantikan pasukan perubatan. Dalam kesamaran dan kesakitan, Tuah dapat melihat dengan jelas penjenayah yang telah menembaknya kerana dia telah berjaya diberkas sejurus melepaskan tembakan. Wajah tersebut kembali mengingatkannya kepada satu peristiwa yang pernah berlaku tiga tahun yang lalu. Dia telah menghapuskan bukti-bukti sehingga pemilik wajah itu dibebaskan daripada dijatuhi hukuman. Pandangannya semakin kabur dan wajah itu perlahan-lahan menghilang.
bersambung...

Thursday, October 29, 2009

“Bersiap sedia dan maklumkan kepada semua anggota kita yang terlibat dalam operasi ini supaya berhati-hati dan bertindak mengikut arahan yang telah diberi. Jangan biarkan mereka bertindak secara berseorangan kerana situasi itu berbahaya untuk anggota kita”, Inspektor Tuah kelihatan tekun mendengar arahan yang terbit dari mulut pegawai atasannya. Malam ini mereka akan mengadakan operasi besar-besaran dengan menggempur sarang pengedar dadah terbesar di negeri Pahang. Tuah akan mengetuai operasi tersebut dengan kekuatan anggota seramai 35 orang. Mereka akan menyerbu ke tempat persembunyian pengedar tersebut yang telah diperhatikan sejak sebulan lalu. Operasi itu adalah amat penting untuk membendung masalah pengedaran dadah yang semakin berleluasa beberapa tahun kebelakangan ini. Tuah optimis bahawa mereka akan berjaya dalam operasi tersebut. Pasti!
bersambung...
“Mahkamah dengan ini memutuskan bahawa tertuduh yang bernama Teh Janasari tidak bersalah dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah serta tiada hukuman dijatuhkan ke atas beliau,” suara hakim tersebut kedengaran tenang semasa membaca keputusan yang telah diambil. Teh Janasari seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Benarkah dia dibebaskan tanpa sebarang hukuman dikenakan ke atasnya? Tapi kenapa? Teh sendiri bingung dengan keputusan yang telah diputuskan itu. Sewaktu dia dibawa keluar dari mahkamah, dia menyedari ada sepasang mata yang sedang memerhatikannya. Sewaktu mata mereka bertentangan, lelaki itu pantas menghadiahkan senyuman sebelum menghilangkan diri di sebalik bangunan mahkamah. Teh seperti pernah melihat lelaki itu. Tetapi dia sendiri tidak pasti di mana. Namun tiba-tiba mindanya teringatkan seseorang. Inspektor Tuah!
bersambung...

Wednesday, October 28, 2009

“Apakah yang akan berlaku sekiranya aku hapuskan bukti berkaitan penangkapan tersebut?”, bisik Tuah seorang diri. Pada ketika itu hanya dia sahaja yang berada di pejabat memandangkan rakan-rakan sekerja yang lain telah keluar untuk mengisi perut mereka pada tengah hari itu. Jangan Tuah. Kau tidak berhak untuk berbuat begitu. Kau tidak sepatutnya mencampuradukkan soal peribadi dan soal kerja. “Tapi aku tidak sanggup melihat Teh dihukum gantung. Masakan aku tega melihat seorang wanita yang persis arwah isteriku dihukum mati?”. Kau buta Tuah. Kau telah dibutakan dengan perasaan kau. Cinta kau kepada Teja telah menyebabkan kau buta mata hati. Cinta kau terhadap Teja membuatkan kau sanggup bertindak diluar kewarasan. “Ya. Aku sudah hilang kewarasan. Aku sanggup bertindak di luar kawalan. Aku sanggup tanggung segalanya risikonya. Yang pasti aku tidak mahu melihat Teh dihukum. Dia masih terlalu muda untuk pergi meninggalkan dunia ini. Tidak, aku tidak akan benarkan dia diapa-apakan!”. Kau manusia yang bodoh Tuah. Kau tega memperjudikan masa depan dan kerjaya kau untuk sesuatu yang tidak pasti. Kau sanggup mempertaruhkan intergriti kau sebagai seorang anggota polis untuk melindungi penjenayah seperti itu yang langsung kau tidak ketahui latar belakangnya. Kau sanggup mencemarkan nama baik pasukan kau yang selama ini dipandang tinggi oleh masyarakat sebagai pembela kebenaran dan keamanan. Kau bodoh Tuah. Kau buta! “Arghhhhh. Diammmmm!!”. Tuah menjerit sambil menumbuk dinding pejabatnya. Darah merah kelihatan mengalir dari luka yang baru terbentuk.
bersambung...
“Abang, agaknya berapa orang anak yang abang impikan untuk menyerikan mahligai yang kita bina ini?”, Teja bersuara sambil tangannya mengusap lembut rambut suaminya yang ketika itu sedang berbaring di ribanya. “Emm. Berapa ramai agaknya yang Teja sudi lahirkan untuk abang?”, tangannya pantas mencubit pipi isteri yang sedang tersenyum memandangnya. “Berapa pun yang abang inginkan, Teja akan tunaikan dengan keizinan Allah S.W.T. Emm. Kalau lagi ramai lagi bagus kan abang? Mesti meriah rumah kita dengan suara dan gelagat anak-anak”. “Ya sayang, abang juga mengimpikan keluarga yang besar. Dan abang pasti kita akan hidup bahagia sebagai sebuah keluarga”. “Tapi...”. “Tapi apa sayang? Ada apa-apa masalahkah yang bersarang di fikiran sayang? Luahkanlah kepada abang”. “Ehmm. Bagaimana agaknya jika Teja tidak berkesempatan untuk menunaikan impian kita itu?”. Soalan yang terbit dari bibir mungil Teja benar-benar memeranjatkan Tuah. Namun perasaannya yang berkocak cuba disembunyikan dengan menghadiahkan sebuah senyuman. Lantas tangannya memegang erat jari-jemari isterinya. “Sayang, jodoh pertemuan, ajal dan maut terletak di tangan Tuhan. Sebagai hambanya kita hanya mampu merancang tetapi hanya Dia yang berhak menentukan. Abang tak mahu perkara seperti ini mengganggu-gugat kebahagiaan yang kita kecapi kini. Kita berusaha dan berserah sahajalah kepada Allah S.W.T kerana Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Abang sayangkan Teja dan abang rela berbuat apa sahaja untuk melihat Teja kembali sembuh seperti sedia kala”, hatinya sebak tatkala menuturkan kata-kata itu. Dia perlu kuat untuk menghadapi dugaan yang datang. Dan sebagai lelaki serta seorang suami, dia perlu menunjukkan sikap yang positif walau dalamannya begitu rapuh dan mampu pecah berderai pada bila-bila masa sahaja. “Jangan menangis lagi ya sayang. Abang sentiasa bersama Teja walau dalam apa jua keadaan sekalipun”, ujarnya sambil menyapu lembut pipi isterinya yang sudah mula dibasahi mutiara jernih.
bersambung...

Monday, October 26, 2009

Dadanya kelihatan turun naik akibat aturan pernafasan yang tidak teratur. Nafasnya terasa sesak apabila terkenangkan wanita yang dituduh menjalankan aktiviti pengedaran dadah itu. Menurut maklumat yang diterima daripada anggota bawahannya, wanita itu diberkas ketika sedang mengedarkan dadah kepada salah seorang pelanggannya di sebuah lorong berdekatan bangunan rumah kedai di Bandar Jengka. Ketika ditahan, turut dijumpai bersamanya adalah dadah jenis heroin seberat 2983 gram yang tersimpan di dalam beberapa bungkusan di dalam beg sandangnya. Tuah difahamkan pemilik wajah persis arwah isterinya itu bernama Teh Janasari. Nama mereka juga seakan-akan sama. “Ya Allah, kebetulan apakah ini? Kenapa aku harus melalui detik-detik sukar seperti ini?” gumamnya sendirian. Pandangannya dihalakan pula ke langit. Tidak kelihatan walau sebutir bintang pun yang kebiasaannya berkerlipan menghiasi dada langit. Bulan juga seolah-olah malu untuk menunjukkan wajah. Malam yang kelam itu seolah-olah cerminan jiwanya yang turut suram dan tidak bermaya. Jika disabitkan kesalahan wanita itu bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati mandatori mengikut hukuman yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1957. Sanggupkah dia melihat wanita yang mengembalikan ingatannya kepada arwah isterinya itu dihukum gantung? “Arghhhh”, Tuah menjerit perlahan. Sayup-sayup terdengar suara pungguk yang berlagu hiba seolah-olah meratapi kehilangan bulan yang tidak kelihatan berselang-seli dengan suara cengkerik yang menyerikan malam yang suram.

Sunday, October 25, 2009

Tuah sedang duduk bersantai di atas kerusi batu yang diletakkan di taman mini bersebelahan dengan rumahnya. Bandar Maran yang dapat dilihat dengan jelas dari lokasi rumahnya yang terletak di atas bukit kelihatan sesak dengan kenderaan yang bertali arus walaupun jam sudah hampir menunjukkan angka 11 malam. Bandar Maran bermandi cahaya seolah-olah ada festival sahaja lagaknya. Pandangannya dilemparkan ke arah air terjun buatan yang terletak di sudut taman itu. Lama. Di sekeliling kawasan air terjun itu ditanam dengan pelbagai spesies tumbuhan keladi yang aneka warna. Tuah sedia maklum bahawa pokok-pokok keladi tersebut ditanam oleh ibunya yang meminati tumbuhan keladi seperti itu. Pawana yang berhembus lembut pada malam itu mampu memberi ketenangan jiwa. Namun kedinginan angin malam itu tidak mampu untuk meredakan perasaan Tuah yang bergolak hebat di dalam dirinya. Fikirannya menerawang mengingati kembali sesi soal siasat yang dilakukan dua hari lepas. Wajah wanita itu yang persis Teja benar-benar mengganggu emosinya. Wajah yang saling tidak tumpah itu kembali mengingatkannya kepada arwah isteri yang telah lama pergi. Perasaannya berperang hebat.
bersambung...

Wednesday, October 21, 2009

“Baiklah, mari kita mulakan,” suara Inspektor Tuah yang agak lantang itu bergema di dalam bilik kecil yang memuatkan tertuduh yang ingin disoal-siasat tersebut. Turut bersamanya adalah dua orang anggota polis yang memberkas tertuduh ketika serbuan dijalankan. “Dari mana kamu mendapat bekalan dadah ini?” Si tertuduh hanya tunduk mendiamkan diri. “Sudah berapa lama kamu menjalankan aktiviti pengedaran ini?” Sikap mendiamkan diri wanita tersebut benar-benar menjengkelkan Tuah. “Saya sedang bercakap dengan kamu”, ujar Tuah dengan lantang sambil tangannya menepuk meja dengan kuat. Suaranya yang ibarat petir itu mengejutkan wanita yang sedari tadi hanya tunduk mendiamkan diri tanpa sepatah kata. Perlahan-lahan wajahnya diangkat dan matanya dengan berani menentang mata Tuah yang kelihatan kemerahan akibat terlalu marah dengan sikap wanita itu yang tidak mahu memberikan kerjasama. Namun semua itu adalah perkara biasa yang sering terjadi dalam sesi soal-siasat. Tidak semua penjenayah mahu memberikan kerjasama termasuklah wanita yang kini berada di depan matanya. Tatkala wajahnya diangkat, Tuah terkesima. Benarkah apa yang sedang dilihatnya kini? Atau dia hanya bermimpi di siang hari? Atau dia dikuasai imaginasinya yang tiada henti-henti? Tidak. Dia bukan bermimpi, bukan juga berimaginasi, dia masih berpijak di bumi yang nyata dan fikirannya masih waras. Apa yang terhidang di depan matanya kini adalah satu realiti. Tidak mungkin dia bermimpi. Tidak mungkin! Wajah wanita itu seiras dengan wajah milik insan yang paling dikasihinya. Saling tak tumpah. Persis sekali. “Teja!”, seakan-akan suara tersebut bergema di dalam dadanya, melalui segenap urat saraf dan hampir membuatkan otaknya hilang kewarasan. “Tuan, tuan tak apa-apa?”, suara Konstabel Azmi memecahkan tembok kesunyian yang sedari tadi melingkari bilik kecil itu. Suara itu juga mengembalikan Tuah ke alam nyata. “Kita tangguhkan buat sementara waktu sesi soal siasat ini. Pastikan waktu tahanan remannya dilanjutkan untuk kita jalankan siasatan”, arahnya kepada Konstabel Azmi yang kelihatan terpinga-pinga mendengar arahan ketuanya yang secara tiba-tiba itu. “Baiklah”, ujar Konstabel Azmi sambil menyuruh seorang anggota polis wanita yang turut berada di dalam bilik itu membawa tertuduh keluar.
bersambung..

Wednesday, October 14, 2009

Kenapa...

Entah kenapa pagi ini perasaanku tidak keruan..sedari tadi dadaku berdebar-debar..Ya Tuhan, musibah apakah yang ingin kau berikan kepadaku? Aku runsing sekali..Entahlah..Mungkin hanya perasaanku atau ada sesuatu yang ingin berlaku..
Ya Allah..Jauhkan hambamu ini dari segala bahaya dan kemudaratan,ampunkan segala dosaku sejak aku dilahirkan,panjangkan usiaku agar aku dapat berbakti kepada kedua ibu bapaku yang amat aku sayangi..

Namun jika hari ini adalah hari terakhir buatku..

Buat rakan-rakan seperjuangan..maaf dipinta andai pernah terkasar bahasa,tersalah bicara,terkhilaf tutur kata,perbuatan mahupun gurauan yang menyinggung perasaan..aku hanyalah insan biasa yang tidak lepas dari berbuat kesalahan..

Buat Meon,Pekan dan Mak Pekan..terima kasih untuk segalanya..kalian teman,rakan juga saudara..terima kasih kerana menceriakan hari-hariku disini..aku senang bersama kalian..aku sayang kalian bertiga..

Juga buat kedua ibu bapaku..terima kasih kerana membesarkan aku dengan penuh kesabaran..jasa kalian tidak mungkin dapat kubalas..juga buat kedua orang adikku..jaga diri hiasi peribadi..along sayang abah,umi,angah dan adik..

Semoga aku masih dikurniakan kesihatan yang baik serta dipanjangkan usia..InsyaAllah..
Isteri yang dicintai telah meninggalkan dirinya akibat barah hati yang dihidapi. Pada ketika itu dunia dan takdir dirasakan begitu kejam dan tidak adil kerana memisahkan mereka di saat mereka tenggelam memadu asmara dan melayari alam rumah tangga. Namun akhirnya Tuah sedar bahawa segala yang berlaku telah tertulis sejak azali. Dan sebagai hamba Allah yang dikurniakan iman, Tuah pasrah dengan ketentuan-Nya. “Teja, hingga ke saat ini abang masih merindui Teja walaupun sudah hampir setahun Teja meninggalkan abang. Tidak pernah terlintas di hati abang untuk mencari pengganti kerana cinta abang pada Teja terlalu dalam dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Bersemadilah dengan tenang wahai sayang, hanya doa yang mampu abang titipkan sebagai tanda ingatan abang pada Teja yang tidak pernah abang lupakan,” hatinya berbisik sayu tatkala melihat potret mereka berdua. “Tuan, tertuduh berkaitan kes pengedaran dadah yang diberkas semalam sudah dibawa ke bilik soal siasat. Kami hanya menunggu tuan tiba untuk memulakan sesi tersebut”, suara anak buahnya yang tiba-tiba muncul di pintu pejabatnya mematikan lamunan yang baru sahaja hendak bermula. “Baiklah, sebentar lagi saya akan sampai,” balasnya dengan muka serius yang sengaja dibuat bagi melindungi awan mendung yang mula berarak di dalam hatinya.
bersambung...

Sunday, October 11, 2009

Di sini bermula..

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami
Kerana engkau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku.

Sayup-sayup lagu Permata Buat Isteri nyanyian kumpulan Kopratasa itu berkumandang memenuhi ruang pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil cawangan Ibu Pejabat Polis Daerah Maran tersebut. Inspektor Tuah yang tadinya begitu khusyuk mencatatkan sesuatu di dalam buku catatan hariannya tersentak lalu meletakkan pen yang dipegangnya. Lagu tersebut benar-benar mengganggu tumpuannya. Bait-bait kata yang begitu indah dilagukan itu menusuk ke jiwanya. Dia mengeluh perlahan. Seketika pandangannya tertancap pada potret yang sejak sekian lama menjadi pemerhati bisu yang diletakkan disudut kiri mejanya. Lama. Potret yang merakamkan saat-saat indah dalam hidupnya itu terus ditenung tanpa berkelip. Ya, potret itu diambil kira-kira dua tahun lalu, setelah mereka sah bergelar suami isteri. Persalinan berwarna hijau yang tersarung kemas di tubuh mereka menambahkan lagi seri pengantin yang terpancar di wajah. Tangannya dilingkarkan di pinggang isteri tercinta dan mereka sama-sama tersenyum, menzahirkan lagi kebahagiaan yang sedang beraja di hati. Namun kegembiraan yang dikecapi tidak lama, pemergian isterinya ke rahmatullah sejak setahun lalu seolah-olah merenggut semangatnya untuk meneruskan hidup.
bersambung....

Kebetulan yang mengasyikkan...Tuah di bumi nyata..

Semalam aku bersama seorang rakan mengambil keputusan untuk bersiar-siar di bandar Seremban. Sekadar melepaskan tekanan yang kuhadapi sejak kebelakangan ini dek hambatan tugasan yang tidak pernah berkesudahan. Kami sedang duduk bersantai di atas kerusi batu yang disediakan sambil memerhatikan gelagat orang ramai. Seketika pandanganku jatuh ke wajah seseorang. Ya, ketampanannya membuatkan aku leka memerhatikan dirinya yang berdiri tidak jauh dari tempat dudukku. Kesegakkannya terserlah kerana pada ketika itu dia memakai uniform pasukan keselamatan. Ya, lelaki itu seorang polis. Mungkin kerana terasa diperhatikan, dia memandang ke arahku. Dan kami berbalas senyuman untuk beberapa ketika. Tanpa diduga, dia berjalan menuju ke arahku. Jantungku bagai dipacu laju. Apabila dia berada betul-betul dihadapanku, aku terkesima. Apakah benar perkara yang sedang aku saksikan sekarang? Atau hanya sebahagian daripada imaginasiku? Tidak, aku tidak bermimpi di siang hari, aku masih berpijak di bumi nyata. Tanda nama yang tersemat kukuh di dadanya tertulis perkataan "TUAH". Aku tersenyum sendirian apabila terkenangkan watak Hang Tuah yang ingin aku jelmakan kembali sebagai anggota polis. Tindakanku itu menimbulkan tanda tanya di fikirannya lalu dia bertanya apakah sebabnya aku tersenyum. Aku lantas menceritakan mengenai tugasanku di universiti. Kini giliran dia pula yang tersenyum. Ini satu kebetulan yang aku sifatkan sebagai mengasyikkan. Di saat aku buntu untuk menghidupkan watak Hang Tuah, "Tuah" lain pula yang muncul di depan mataku. "Buat saudara Tuah, walau hanya seketika masa yang sempat diluangkan bersama, namun pertemuan itu membuatkan semangat saya berkobar-kobar untuk menyiapkan tugasan yang diberi. Kata-kata semangat yang saudara titipkan akan sentiasa saya kenang. Terima kasih!"