Tuesday, September 1, 2009

Ini kisahku...

Hari ini aku kembali ke kuliah seperti biasa selepas empat hari berehat di rumah sempena cuti kemerdekaan.Emm..cuaca yang mendung pada sebelah pagi akhirnya menumpahkan hujan sehingga petang.Tiada apa yang menarik berlaku pada diriku hari ini melainkan rutin-rutin biasa yang selalu kulalui saban hari.Tapi pada sebelah malam lain pula ceritanya.Saat aku menggerakkan jari jemari menekan papan kekunci ini,sebenarnya aku baru pulang daripada menghadiri kelas ganti bagi subjek pilihan bebasku.Tiada perbezaan yang ketara,melainkan seorang senior perempuan yang membawa anak perempuannya yang berusia 2 tahun bersama ke kelas.Pada mulanya kanak-kanak itu tenang sahaja.Tapi mungkin kerana berasa bosan dan kepenatan ditambah rasa mengantuk,kanak-kanak itu mula merengek dan menangis sambil ditenangkan oleh ibunya.Tersentuh rasa hatiku melihatkan seorang ibu yang sabar melayani kerenah anaknya meskipun aku masih belum bergelar ibu.Ingatanku terbang melayang,lalu hinggap di wajah ibuku.Aku terkenang,sudah pasti ketika aku kecil aku juga mungkin seperti kanak-kanak itu dan ibuku yang sememangnya penyayang itu pastinya berusaha memujuk dan menenangkan aku.Ya,betapa murninya hati seorang ibu.Kasih dan sayangnya tertumpah tanpa berbelah bahagi.Dan aku sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang ibu yang sangat memahami anaknya.Bagiku,ibuku adalah ibu yang terbaik di dunia ini.Umi..along rindukan umi..along sayang umi..

No comments:

Post a Comment