Thursday, November 12, 2009

SELAMAT BERCUTI...




Esok adalah hari terakhir bagi semester ini..esok juga aku dan rakan2 akan menghadapi kertas peperiksaan yang terakhir..barang2 telah siap dikemaskan sejak 2 hari yang lalu..pada saat ini hanya jasad yang masih berada di UKM sedangkan hati dan fikiran aku telah lama pulang ke rumah..hehe..di kesempatan ini aku ingin mengucapkan selamat bercuti kepada semua rakanku..jaga diri baik2 dan semoga kita diberi kesempatan untuk bersua lagi pada semester yang akan datang..InsyaAllah..Sayonara...

Monday, November 9, 2009

Kalau itu takdirnya...episod akhir..

Peristiwa itu sudah hampir setahun berlalu. Namun semuanya masih segar di ingatan seolah-olah baru semalam terjadi episod duka tersebut. Selang beberapa hari selepas kejadian itu Zarif menerima sepucuk surat daripada Zulaikha. Sepucuk surat yang sangat meruntun hatinya. Sepucuk surat yang menyebabkan air mata lelakinya tumpah jua. Sepucuk surat itu juga menjadi pemusnah kepada impian yang disulamnya selama ini, impian untuk bersama-sama Zulaikha hingga ke akhir hayat mereka berdua. Dan sepucuk surat itu menyebabkan Zarif mengambil keputusan untuk meninggalkan tanah air dan merantau ke negara orang. Kepedihan yang ditanggung cuba diluputkan dari ruang ingatan, namun sesekali rasa rindu itu datang menjengah kamar hatinya, menyebabkan jiwanya diruntun kepiluan. “Ika, Zarif terlalu merindui dirimu”, tanpa disedari kalimat itu terbit dari bibirnya disertai dengan setitis airmata yang tumpah dari tubir matanya. Dan sepucuk surat itu tergenggam erat di tangannya.

Zarif yang disayangi,

Rasanya tidak perlu kita teruskan hubungan ini jika tidak mendapat restu daripada ibumu. Ika juga menyayangi Zarif, namun takdir tidak membenarkan kita bersama sebagaimana yang kita impikan. Ika tidak sanggup menjadi pemusnah kepada hubungan seorang ibu dan anak. Ika tidak mahu Zarif menjadi anak derhaka. Ibu sering berpesan kepada Ika, syurga dan keredhaan seorang anak itu letaknya di bawah telapak kaki ibunya. Keputusan ini adalah yang terbaik untuk kita. Ika juga merasakan keperitannya, tetapi Ika redha dengan qada dan qadar yang telah ditentukan untuk kita sejak azali lagi. Mencintai tidak semestinya beerti kita akan memiliki. Izinkan Ika untuk terus menyayangi Zarif dan Ika akan simpan semua kenangan indah yang kita lalui berdua sehingga ke akhir hayat. Terima kasih untuk segalanya Zarif. Halalkan apa juga yang pernah Zarif berikan kepada Ika. Ika sentiasa mendoakan agar Zarif dipertemukan dengan wanita yang mampu membahagiakan Zarif dan kedua ibu bapamu. Lupakan Ika untuk selamanya. Takdir yang menemukan kita, takdir juga yang berhak memisahkan kita. Selamat tinggal Zarif. Maafkan Ika...
Ika.
Air mata lelakinya tumpah lagi tatkala membaca surat itu entah untuk ke berapa kali. Zulaikha!

Sunday, November 8, 2009

Kalau itu takdirnya...8

Sebenarnya Datuk Syakir sangat bersetuju dengan pilihan anaknya itu. Hati tuanya jatuh kasih kepada Zulaikha apabila diperkenalkan oleh Zarif ketika anak gadis itu menjejakkan kaki buat kali pertama di rumah mereka beberapa jam yang lalu. Kesantunan dan kelembutan Zulaikha membuatkan hatinya yakin dengan pilihan anaknya. “Rindiani perlu ditunjukkan jalan yang sebenar”, monolognya sendirian. Selama ini dia hanya bersabar dengan segala kerenah dan tindak-tanduk isterinya. Namun kini dia tidak akan berkompromi dalam hal yang melibatkan kebahagiaan anak tunggalnya itu. Kebahagiaan Zarif lebih bermakna buat dirinya. “Papa izinkan dan papa restui jika Zarif benar-benar mahu memperisterikan Zulaikha”, ujar Datuk Syakir setelah lama menjadi penonton babak pergaduhan itu. Wajahnya tenang sahaja. Perkataan yang baru muncul itu sangat mengejutkan Datin Rindiani termasuklah Zarif dan Zulaikha sendiri. “Papa terima siapa sahaja yang menjadi pilihan hati Zarif kerana yang penting bagi papa adalah kebahagiaan Zarif sendiri. Harta boleh dicari, tetapi kebahagiaan tidak selalu muncul dalam hidup kita. Hargailah kebahagiaan tersebut”, Datuk Syakir tenang mengeluarkan kata-katanya. Datin Rindiani hanya merenung ke arah suaminya dengan pandangan yang melindungi 1001 maksud yang tersirat. Namun perlakuannya itu tidak dipedulikan oleh Datuk Syakir. Dia perlu tegas kali ini. Pasti. “Terima kasih papa. Zarif sangat menghargainya dan Zarif sedar kebahagiaan Zarif hanyalah bersama Zulaikha”, Zarif berkata sedemikian apabila melihat papanya memandang ke arahnya. “Ya anakku, papa sentiasa mendoakan agar kebahagiaan itu menjadi milik Zarif dan Zulaikha selamanya”. “Kalau Zarif tetap berkeras dengan keputusan itu, teruskan. Tetapi sebaik sahaja Zarif menikahi Zulaikha, Zarif bukan lagi anak mama dan Zarif tidak berhak lagi untuk menyebut perkataan itu!”, tempik Datin Rindiani sambil berlari menuju ke biliknya di tingkat atas rumah banglo itu. Zarif, Zulaikha dan Datuk Syakir terkesima mendengar kata-kata tersebut. Masing-masing bingung!

Kalau itu takdirnya...7

“Mama tak setuju dan mama tak izinkan Zarif berkahwin dengan perempuan kampung itu!”, Datin Rindiani meledakkan kemarahannya apabila Zarif menyuarakan hasrat untuk memperisterikan Zulaikha. “Apa kurangnya Sha dan apa lebihnya budak kampung ini? Mama tak percaya Zarif boleh hidup bahagia dengannya. Apa yang budak kampung ini ada sehinggakan Zarif menolak pilihan mama? Dia tak setaraf dengan kita, entah dari mana asal-usulnya. Entah di mana Zarif pungut budak itu!”. “Mama! Mama tak berhak untuk menghina Zulaikha, dia juga seorang manusia yang punya hati dan perasaan”, ujar Zarif sambil mukanya merah menahan marah. Padanya mamanya itu sudah keterlaluan dan tidak boleh dibiarkan. Matanya memandang ke arah Zulaikha yang duduk di atas sofa berhampiran dengannya. Zulaikha hanya menunduk memandang karpet berbulu tebal yang diimport dari Itali itu. Sofa lembut yang mengalas punggungnya dirasakan keras seperti batu. Dia tidak betah untuk berlama-lama di situ. Namun rasa hormatnya yang masih menebal kepada tuan rumah menahannya daripada berlari keluar dari rumah itu. Terasa maruahnya seperti dipijak. Lumat. “Entah-entah budak ini sudah bomohkan Zarif agaknya”, Datin Rindiani masih belum puas. Hatinya sakit melihatkan budak perempuan itu yang hanya tunduk sahaja. “Tidak tahu malu”, getus hatinya lagi. “Sudahlah mama. Zarif tetap dengan keputusan ini dan Zarif tidak akan berganjak daripada pendirian Zarif. Keputusan Zarif muktamad dan Zarif tetap mahu mengambil Zulaikha sebagai isteri yang sah”, Zarif bersuara tenang kali ini. Pada fikirannya api yang sedang marak tidak seharusnya disimbah dengan minyak. Hanya akan menambahkan lagi kemarakkannya. Datin Rindiani terduduk mendengarkan kata-kata yang muncul dari bibir anaknya itu. Matanya merenung tajam ke arah mereka berdua. Keputusan Zarif itu seolah-olah mencabar kewibawaannya sebagai seorang ibu. Padanya anaknya itu perlu menuruti setiap keputusan yang diputuskan olehnya. Dadanya berombak menahan kemarahan yang sedang bermaharajalela dalam dirinya. “Mama tidak akan merestui perhubungan ini walau apa juga alasan yang Zarif kemukakan. Mama tidak mahu bermenantukan orang kampung yang tidak setaraf dengan kita. Mana mama nak letak muka nanti? Anak tunggal Datin Rindiani berkahwin dengan seorang perempuan kampung? Ah, perkara sebegitu tidak akan terjadi. Mama dan papa dikenali ramai, pasti kami akan mendapat malu jika perkara ini tersebar”, tempik Datin Rindiani. Kemarahannya tidak dapat dibendung lagi. Umpama gunung berapi yang memuntahkan laharnya, tidak memperdulikan kerosakan yang dialami di sepanjang laluannya. Alat penghawa dingin yang beroperasi pada suhu 16 darjah celsius di ruang tamu utama itu tidak mampu untuk menyejukkan hati Datin Rindiani yang sedang panas membara. Datuk Syakir hanya memandang telatah isterinya yang begitu menjelikkan itu. Isterinya sudah melampau. Berkata dan marah mengikut hatinya sahaja tanpa mempedulikan perasaan orang lain terutama perasaan Zulaikha sebagai tetamu mereka.

Kalau itu takdirnya...6

Bukan dia tidak sukakan Zarif. Dia juga tidak menghalang jika Zarif mempunyai perasaan terhadap anak gadisnya. Cuma yang menjadi pokok kebimbangannya ialah status mereka yang terlalu jauh bezanya. Umpama langit dan bumi. Masakan kedua ibu bapa Zarif yang tergolong dalam golongan elit itu mahu berbesan dengannya yang hanya seorang perempuan tua yang tidak mempunyai apa-apa harta itu? Nafasnya dihela dengan perlahan. Fikirannya ligat mencari kata-kata terbaik yang akan diutarakan kepada Zarif. Perlakuannya itu menimbulkan tanda tanya di hati Zarif. Otaknya pantas mentafsirkan ada sesuatu yang sedang membelenggu fikiran ibu tua itu. “Mak cik menghargai perasaan Zarif terhadap Zulaikha. Mak cik juga berbesar hati kiranya Zarif sudi memperisterikan Zulaikha dan menjadi menantu di rumah ini”, ujar mak cik Milah. Dilihatnya Zarif tetap sabar menantikan bait-bait kata seterusnya. “Mak cik bimbang tentang penerimaan kedua ibu bapa Zarif mengenai hal ini. Maklum sahaja, kami hanyalah penduduk kampung yang serba kekurangan, terlalu jauh bezanya dengan keluarga Zarif. Mak cik cuma tidak mahu hati Zulaikha dikecewakan dengan hal-hal seperti ini. Zarif umpama enggang, Zulaikha hanyalah pipit yang sehingga bila-bila pun tidak mampu terbang seiring bersama enggang”. Zarif hanya terdiam mendengarkan kata-kata yang terbit dari mulut mak cik Milah. “Saya yakin dengan perasaan dan keputusan saya mak cik. Saya cinta akan dia bukan kerana harta tetapi kerana ketulusan hati dan kesantunan budi bahasa yang dimilikinya. Saya yakin dia akan membahagiakan saya. Tentang papa dan mama, janganlah mak cik bimbangkan. Saya akan bincangkan hal ini dengan mereka. Saya hanya perlukan restu daripada mak cik. Restuilah hasrat saya ini”, ujar Zarif dengan yakin. Mak cik Milah tidak mampu berkata apa-apa. Zarif dilihatnya begitu bersungguh-sungguh dan yakin dengan keputusan yang diambilnya. “Jika Zarif sudah berkata sedemikian, mak cik menurut sahaja kerana mak cik yakin Zarif mampu membahagiakan Zulaikha. Hanya satu yang mak cik pinta, janganlah Zarif menghancurkan perasaan dan hati Zulaikha kerana mak cik tidak sanggup melihat dia bersedih”, ujar mak cik Milah. “Terima kasih kerana merestui niat suci saya ini, saya berjanji akan menjaga Zulaikha dan membahagiakannya selagi hayat dikandung badan”. Mak cik Milah hanya tersenyum tawar, hati tuanya begitu bimbang. Namun sebagai ibu dia tetap mendoakan yang terbaik untuk anak gadisnya itu. Semoga akan ada sinar kebahagiaan yang menanti mereka. Di sebalik pintu kelihatan Zulaikha tersenyum sendirian.

Tuesday, November 3, 2009

Kalau itu takdirnya...5

“Alhamdulillah, murah benar rezeki saya hari ini. Kenyang saya dibuatnya”, Zarif berkata kepada ibu Zulaikha sambil pandangannya dilemparkan ke halaman rumah. Kelihatan tiga ekor ayam kampung yang sedang mengais-ngais tanah, mencari cacing tentunya. Pawana yang bertiup sepoi-sepoi bahasa terasa begitu menenangkan. Ditambah pula dengan persekitaran rumah yang redup kerana dilindungi oleh pepohon buah-buahan, begitu mendamaikan. Zarif dapat merasakan udara yang segar melalui paru-parunya, jauh bezanya dengan udara kota yang saban hari dihirup yang pastinya mengandungi partikel-partikel pencemar yang mampu menjejaskan kesihatan. “Saya sebenarnya ada sesuatu perkara yang ingin diberitahu dan dibincangkan dengan mak cik”, Zarif memulakan bicara. Ketika itu Zulaikha sedang sibuk mengemas di dapur rumahnya. Mak cik Milah segera mengalihkan pandangannya ke arah Zarif. Wajah anak muda itu ditenungnya. Lama. Zarif berkira-kira sama ada mahu meneruskan niatnya atau tidak. “ Perkara apa yang ingin Zarif bincangkan dengan mak cik?”, aju mak cik Milah. Suara mak cik Milah yang lembut itu mengembalikan keyakinan Zarif untuk menyuarakan hasrat yang selama ini terpendam di lubuk hatinya. Nafasnya ditarik dalam-dalam dan dihembuskan dengan perlahan. Mak cik Milah masih menanti dengan sabar. “Sebenarnya saya ingin menyunting sekuntum bunga yang sedang mekar berkembang di dalam taman di rumah ini. Saya ingin sekali memperisterikan Zulaikha dan saya ingin menjadikan dirinya yang halal buat saya”, akhirnya terluah juga hasratnya itu. “Saya telah jatuh hati kepadanya saat pertama kali kami bertentang mata. Dan sejak itu saya merasakan kasih sayang dan cinta saya semakin mekar untuk Zulaikha. Jika mak cik izinkan, saya ingin memperisterikan Zulaikha”, sambungnya lagi. Mak cik Milah hanya memandang Zarif dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Benar sangkaannya selama ini. Hati tuanya tidak pernah menipu dan tidak pernah terkhilaf dalam mentafsir anak muda itu. Kebimbangannya kini menjadi kenyataan.

Kalau itu takdirnya...4

“Ika sihat?”, tanya Zarif ketika mereka sama-sama menikmati mee sup di sebuah restoran lewat petang tersebut. “Alhamdulillah. Masih dikurniakan kesihatan yang baik. Oh ya, ibu kirim salam pada Zarif”, jawab Zulaikha sambil menyuakan mee sup yang masih panas itu ke mulutnya. “Waalaikumussalam. Rasanya sudah lama Zarif tidak pergi mengunjungi ibu Ika. Terasa rindu pula dengan masak lemak cili api ikan sepat yang sedap itu”, ujar Zarif sambil tersenyum. “Kalau tiada apa-apa halangan, Zarif akan ke rumah Ika pada hujung minggu ini. Bolehlah Zarif merasa masakan ibu Ika yang sedap itu”, terasa kecur air liurnya apabila terbayangkan ikan sepat yang menjadi kegemarannya sejak berkawan dengan Zulaikha. Maklum sahaja, ikan sepat tidak pernah wujud dalam menu seharian mereka sekeluarga. Mamanya lebih mengutamakan menu ala-ala Western yang sering menjadi santapan mereka sehari-hari. Zulaikha hanya membalas dengan senyuman tanda dia mengizinkan Zarif ke rumahnya.