Thursday, November 12, 2009

SELAMAT BERCUTI...




Esok adalah hari terakhir bagi semester ini..esok juga aku dan rakan2 akan menghadapi kertas peperiksaan yang terakhir..barang2 telah siap dikemaskan sejak 2 hari yang lalu..pada saat ini hanya jasad yang masih berada di UKM sedangkan hati dan fikiran aku telah lama pulang ke rumah..hehe..di kesempatan ini aku ingin mengucapkan selamat bercuti kepada semua rakanku..jaga diri baik2 dan semoga kita diberi kesempatan untuk bersua lagi pada semester yang akan datang..InsyaAllah..Sayonara...

Monday, November 9, 2009

Kalau itu takdirnya...episod akhir..

Peristiwa itu sudah hampir setahun berlalu. Namun semuanya masih segar di ingatan seolah-olah baru semalam terjadi episod duka tersebut. Selang beberapa hari selepas kejadian itu Zarif menerima sepucuk surat daripada Zulaikha. Sepucuk surat yang sangat meruntun hatinya. Sepucuk surat yang menyebabkan air mata lelakinya tumpah jua. Sepucuk surat itu juga menjadi pemusnah kepada impian yang disulamnya selama ini, impian untuk bersama-sama Zulaikha hingga ke akhir hayat mereka berdua. Dan sepucuk surat itu menyebabkan Zarif mengambil keputusan untuk meninggalkan tanah air dan merantau ke negara orang. Kepedihan yang ditanggung cuba diluputkan dari ruang ingatan, namun sesekali rasa rindu itu datang menjengah kamar hatinya, menyebabkan jiwanya diruntun kepiluan. “Ika, Zarif terlalu merindui dirimu”, tanpa disedari kalimat itu terbit dari bibirnya disertai dengan setitis airmata yang tumpah dari tubir matanya. Dan sepucuk surat itu tergenggam erat di tangannya.

Zarif yang disayangi,

Rasanya tidak perlu kita teruskan hubungan ini jika tidak mendapat restu daripada ibumu. Ika juga menyayangi Zarif, namun takdir tidak membenarkan kita bersama sebagaimana yang kita impikan. Ika tidak sanggup menjadi pemusnah kepada hubungan seorang ibu dan anak. Ika tidak mahu Zarif menjadi anak derhaka. Ibu sering berpesan kepada Ika, syurga dan keredhaan seorang anak itu letaknya di bawah telapak kaki ibunya. Keputusan ini adalah yang terbaik untuk kita. Ika juga merasakan keperitannya, tetapi Ika redha dengan qada dan qadar yang telah ditentukan untuk kita sejak azali lagi. Mencintai tidak semestinya beerti kita akan memiliki. Izinkan Ika untuk terus menyayangi Zarif dan Ika akan simpan semua kenangan indah yang kita lalui berdua sehingga ke akhir hayat. Terima kasih untuk segalanya Zarif. Halalkan apa juga yang pernah Zarif berikan kepada Ika. Ika sentiasa mendoakan agar Zarif dipertemukan dengan wanita yang mampu membahagiakan Zarif dan kedua ibu bapamu. Lupakan Ika untuk selamanya. Takdir yang menemukan kita, takdir juga yang berhak memisahkan kita. Selamat tinggal Zarif. Maafkan Ika...
Ika.
Air mata lelakinya tumpah lagi tatkala membaca surat itu entah untuk ke berapa kali. Zulaikha!

Sunday, November 8, 2009

Kalau itu takdirnya...8

Sebenarnya Datuk Syakir sangat bersetuju dengan pilihan anaknya itu. Hati tuanya jatuh kasih kepada Zulaikha apabila diperkenalkan oleh Zarif ketika anak gadis itu menjejakkan kaki buat kali pertama di rumah mereka beberapa jam yang lalu. Kesantunan dan kelembutan Zulaikha membuatkan hatinya yakin dengan pilihan anaknya. “Rindiani perlu ditunjukkan jalan yang sebenar”, monolognya sendirian. Selama ini dia hanya bersabar dengan segala kerenah dan tindak-tanduk isterinya. Namun kini dia tidak akan berkompromi dalam hal yang melibatkan kebahagiaan anak tunggalnya itu. Kebahagiaan Zarif lebih bermakna buat dirinya. “Papa izinkan dan papa restui jika Zarif benar-benar mahu memperisterikan Zulaikha”, ujar Datuk Syakir setelah lama menjadi penonton babak pergaduhan itu. Wajahnya tenang sahaja. Perkataan yang baru muncul itu sangat mengejutkan Datin Rindiani termasuklah Zarif dan Zulaikha sendiri. “Papa terima siapa sahaja yang menjadi pilihan hati Zarif kerana yang penting bagi papa adalah kebahagiaan Zarif sendiri. Harta boleh dicari, tetapi kebahagiaan tidak selalu muncul dalam hidup kita. Hargailah kebahagiaan tersebut”, Datuk Syakir tenang mengeluarkan kata-katanya. Datin Rindiani hanya merenung ke arah suaminya dengan pandangan yang melindungi 1001 maksud yang tersirat. Namun perlakuannya itu tidak dipedulikan oleh Datuk Syakir. Dia perlu tegas kali ini. Pasti. “Terima kasih papa. Zarif sangat menghargainya dan Zarif sedar kebahagiaan Zarif hanyalah bersama Zulaikha”, Zarif berkata sedemikian apabila melihat papanya memandang ke arahnya. “Ya anakku, papa sentiasa mendoakan agar kebahagiaan itu menjadi milik Zarif dan Zulaikha selamanya”. “Kalau Zarif tetap berkeras dengan keputusan itu, teruskan. Tetapi sebaik sahaja Zarif menikahi Zulaikha, Zarif bukan lagi anak mama dan Zarif tidak berhak lagi untuk menyebut perkataan itu!”, tempik Datin Rindiani sambil berlari menuju ke biliknya di tingkat atas rumah banglo itu. Zarif, Zulaikha dan Datuk Syakir terkesima mendengar kata-kata tersebut. Masing-masing bingung!

Kalau itu takdirnya...7

“Mama tak setuju dan mama tak izinkan Zarif berkahwin dengan perempuan kampung itu!”, Datin Rindiani meledakkan kemarahannya apabila Zarif menyuarakan hasrat untuk memperisterikan Zulaikha. “Apa kurangnya Sha dan apa lebihnya budak kampung ini? Mama tak percaya Zarif boleh hidup bahagia dengannya. Apa yang budak kampung ini ada sehinggakan Zarif menolak pilihan mama? Dia tak setaraf dengan kita, entah dari mana asal-usulnya. Entah di mana Zarif pungut budak itu!”. “Mama! Mama tak berhak untuk menghina Zulaikha, dia juga seorang manusia yang punya hati dan perasaan”, ujar Zarif sambil mukanya merah menahan marah. Padanya mamanya itu sudah keterlaluan dan tidak boleh dibiarkan. Matanya memandang ke arah Zulaikha yang duduk di atas sofa berhampiran dengannya. Zulaikha hanya menunduk memandang karpet berbulu tebal yang diimport dari Itali itu. Sofa lembut yang mengalas punggungnya dirasakan keras seperti batu. Dia tidak betah untuk berlama-lama di situ. Namun rasa hormatnya yang masih menebal kepada tuan rumah menahannya daripada berlari keluar dari rumah itu. Terasa maruahnya seperti dipijak. Lumat. “Entah-entah budak ini sudah bomohkan Zarif agaknya”, Datin Rindiani masih belum puas. Hatinya sakit melihatkan budak perempuan itu yang hanya tunduk sahaja. “Tidak tahu malu”, getus hatinya lagi. “Sudahlah mama. Zarif tetap dengan keputusan ini dan Zarif tidak akan berganjak daripada pendirian Zarif. Keputusan Zarif muktamad dan Zarif tetap mahu mengambil Zulaikha sebagai isteri yang sah”, Zarif bersuara tenang kali ini. Pada fikirannya api yang sedang marak tidak seharusnya disimbah dengan minyak. Hanya akan menambahkan lagi kemarakkannya. Datin Rindiani terduduk mendengarkan kata-kata yang muncul dari bibir anaknya itu. Matanya merenung tajam ke arah mereka berdua. Keputusan Zarif itu seolah-olah mencabar kewibawaannya sebagai seorang ibu. Padanya anaknya itu perlu menuruti setiap keputusan yang diputuskan olehnya. Dadanya berombak menahan kemarahan yang sedang bermaharajalela dalam dirinya. “Mama tidak akan merestui perhubungan ini walau apa juga alasan yang Zarif kemukakan. Mama tidak mahu bermenantukan orang kampung yang tidak setaraf dengan kita. Mana mama nak letak muka nanti? Anak tunggal Datin Rindiani berkahwin dengan seorang perempuan kampung? Ah, perkara sebegitu tidak akan terjadi. Mama dan papa dikenali ramai, pasti kami akan mendapat malu jika perkara ini tersebar”, tempik Datin Rindiani. Kemarahannya tidak dapat dibendung lagi. Umpama gunung berapi yang memuntahkan laharnya, tidak memperdulikan kerosakan yang dialami di sepanjang laluannya. Alat penghawa dingin yang beroperasi pada suhu 16 darjah celsius di ruang tamu utama itu tidak mampu untuk menyejukkan hati Datin Rindiani yang sedang panas membara. Datuk Syakir hanya memandang telatah isterinya yang begitu menjelikkan itu. Isterinya sudah melampau. Berkata dan marah mengikut hatinya sahaja tanpa mempedulikan perasaan orang lain terutama perasaan Zulaikha sebagai tetamu mereka.

Kalau itu takdirnya...6

Bukan dia tidak sukakan Zarif. Dia juga tidak menghalang jika Zarif mempunyai perasaan terhadap anak gadisnya. Cuma yang menjadi pokok kebimbangannya ialah status mereka yang terlalu jauh bezanya. Umpama langit dan bumi. Masakan kedua ibu bapa Zarif yang tergolong dalam golongan elit itu mahu berbesan dengannya yang hanya seorang perempuan tua yang tidak mempunyai apa-apa harta itu? Nafasnya dihela dengan perlahan. Fikirannya ligat mencari kata-kata terbaik yang akan diutarakan kepada Zarif. Perlakuannya itu menimbulkan tanda tanya di hati Zarif. Otaknya pantas mentafsirkan ada sesuatu yang sedang membelenggu fikiran ibu tua itu. “Mak cik menghargai perasaan Zarif terhadap Zulaikha. Mak cik juga berbesar hati kiranya Zarif sudi memperisterikan Zulaikha dan menjadi menantu di rumah ini”, ujar mak cik Milah. Dilihatnya Zarif tetap sabar menantikan bait-bait kata seterusnya. “Mak cik bimbang tentang penerimaan kedua ibu bapa Zarif mengenai hal ini. Maklum sahaja, kami hanyalah penduduk kampung yang serba kekurangan, terlalu jauh bezanya dengan keluarga Zarif. Mak cik cuma tidak mahu hati Zulaikha dikecewakan dengan hal-hal seperti ini. Zarif umpama enggang, Zulaikha hanyalah pipit yang sehingga bila-bila pun tidak mampu terbang seiring bersama enggang”. Zarif hanya terdiam mendengarkan kata-kata yang terbit dari mulut mak cik Milah. “Saya yakin dengan perasaan dan keputusan saya mak cik. Saya cinta akan dia bukan kerana harta tetapi kerana ketulusan hati dan kesantunan budi bahasa yang dimilikinya. Saya yakin dia akan membahagiakan saya. Tentang papa dan mama, janganlah mak cik bimbangkan. Saya akan bincangkan hal ini dengan mereka. Saya hanya perlukan restu daripada mak cik. Restuilah hasrat saya ini”, ujar Zarif dengan yakin. Mak cik Milah tidak mampu berkata apa-apa. Zarif dilihatnya begitu bersungguh-sungguh dan yakin dengan keputusan yang diambilnya. “Jika Zarif sudah berkata sedemikian, mak cik menurut sahaja kerana mak cik yakin Zarif mampu membahagiakan Zulaikha. Hanya satu yang mak cik pinta, janganlah Zarif menghancurkan perasaan dan hati Zulaikha kerana mak cik tidak sanggup melihat dia bersedih”, ujar mak cik Milah. “Terima kasih kerana merestui niat suci saya ini, saya berjanji akan menjaga Zulaikha dan membahagiakannya selagi hayat dikandung badan”. Mak cik Milah hanya tersenyum tawar, hati tuanya begitu bimbang. Namun sebagai ibu dia tetap mendoakan yang terbaik untuk anak gadisnya itu. Semoga akan ada sinar kebahagiaan yang menanti mereka. Di sebalik pintu kelihatan Zulaikha tersenyum sendirian.

Tuesday, November 3, 2009

Kalau itu takdirnya...5

“Alhamdulillah, murah benar rezeki saya hari ini. Kenyang saya dibuatnya”, Zarif berkata kepada ibu Zulaikha sambil pandangannya dilemparkan ke halaman rumah. Kelihatan tiga ekor ayam kampung yang sedang mengais-ngais tanah, mencari cacing tentunya. Pawana yang bertiup sepoi-sepoi bahasa terasa begitu menenangkan. Ditambah pula dengan persekitaran rumah yang redup kerana dilindungi oleh pepohon buah-buahan, begitu mendamaikan. Zarif dapat merasakan udara yang segar melalui paru-parunya, jauh bezanya dengan udara kota yang saban hari dihirup yang pastinya mengandungi partikel-partikel pencemar yang mampu menjejaskan kesihatan. “Saya sebenarnya ada sesuatu perkara yang ingin diberitahu dan dibincangkan dengan mak cik”, Zarif memulakan bicara. Ketika itu Zulaikha sedang sibuk mengemas di dapur rumahnya. Mak cik Milah segera mengalihkan pandangannya ke arah Zarif. Wajah anak muda itu ditenungnya. Lama. Zarif berkira-kira sama ada mahu meneruskan niatnya atau tidak. “ Perkara apa yang ingin Zarif bincangkan dengan mak cik?”, aju mak cik Milah. Suara mak cik Milah yang lembut itu mengembalikan keyakinan Zarif untuk menyuarakan hasrat yang selama ini terpendam di lubuk hatinya. Nafasnya ditarik dalam-dalam dan dihembuskan dengan perlahan. Mak cik Milah masih menanti dengan sabar. “Sebenarnya saya ingin menyunting sekuntum bunga yang sedang mekar berkembang di dalam taman di rumah ini. Saya ingin sekali memperisterikan Zulaikha dan saya ingin menjadikan dirinya yang halal buat saya”, akhirnya terluah juga hasratnya itu. “Saya telah jatuh hati kepadanya saat pertama kali kami bertentang mata. Dan sejak itu saya merasakan kasih sayang dan cinta saya semakin mekar untuk Zulaikha. Jika mak cik izinkan, saya ingin memperisterikan Zulaikha”, sambungnya lagi. Mak cik Milah hanya memandang Zarif dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Benar sangkaannya selama ini. Hati tuanya tidak pernah menipu dan tidak pernah terkhilaf dalam mentafsir anak muda itu. Kebimbangannya kini menjadi kenyataan.

Kalau itu takdirnya...4

“Ika sihat?”, tanya Zarif ketika mereka sama-sama menikmati mee sup di sebuah restoran lewat petang tersebut. “Alhamdulillah. Masih dikurniakan kesihatan yang baik. Oh ya, ibu kirim salam pada Zarif”, jawab Zulaikha sambil menyuakan mee sup yang masih panas itu ke mulutnya. “Waalaikumussalam. Rasanya sudah lama Zarif tidak pergi mengunjungi ibu Ika. Terasa rindu pula dengan masak lemak cili api ikan sepat yang sedap itu”, ujar Zarif sambil tersenyum. “Kalau tiada apa-apa halangan, Zarif akan ke rumah Ika pada hujung minggu ini. Bolehlah Zarif merasa masakan ibu Ika yang sedap itu”, terasa kecur air liurnya apabila terbayangkan ikan sepat yang menjadi kegemarannya sejak berkawan dengan Zulaikha. Maklum sahaja, ikan sepat tidak pernah wujud dalam menu seharian mereka sekeluarga. Mamanya lebih mengutamakan menu ala-ala Western yang sering menjadi santapan mereka sehari-hari. Zulaikha hanya membalas dengan senyuman tanda dia mengizinkan Zarif ke rumahnya.

UNTUKMU...


Dirimu yang aku sayangi...

Sayu rasa di hati tatkala berjauhan kini

Hujan yang membasahi bumi seakan cerminan kepiluan yang bertapak di hati

Sukar untuk mengungkapkan perasaan yang berlegar-legar di ruang sanubari

Sakitnya diriku menanggung rindu yang tidak bertepi

Hati bergolak, perasaan dan naluri berperang sesama sendiri

Hajat di hati ingin bertemu kekasih yang dicintai

Namun apakan daya ada rantai yang merintangi kaki

Dirimu kurindui setiap hari, dari dulu

hingga kini dan hingga akhir nanti

Hanya dirimu terpahat di hati

Dipagari kasih sayang dan cinta yang tidak berbelah bahagi

Hanya doa yang mampu kutitipkan agar dirimu

sentiasa dalam rahmat Ilahi

Dari kejauhan kukirimkan bingkisan rindu, kasih,

sayang dan cinta buat insan istimewa pemilik hati

Moga kita sentiasa gembira, bahagia dan tercapai

segala maksud yang dihajati

Cintailah diriku sepenuh hatimu

dan moga kau mengerti apa yang aku rasai kini...

AKU BUKAN UNTUKMU..


Salam perkenalan yang kau hulurkan
Lewat pertemuan semusim yang lalu
Mengusik kolam hati yang dahulunya tenang
Kau hadir menagih kasih
Tanpa menyedari aku telah dimiliki
Ya, aku telah dimiliki
Maafkanku kiranya aku menyakitimu
Namun aku tidak tega mengkhianatinya
Pergilah..doaku mengiringi kebahagiaanmu
Maafkanku..Aku bukan untukmu!

Monday, November 2, 2009

"CINTA"


Indah cinta..bahagia sentiasa..
Rumitnya cinta..tentang hati dan rasa..
Pahitnya cinta tak kesampaian..
Itulah yang mendewasakan...
Sekadar coretan..diri ini sedang berbahagia..:-)

Kalau itu takdirnya...3

Keinginan mamanya itu benar-benar membuatkan fikiran Zarif seolah-olah umpama jaring yang berselirat dan begitu payah untuk dileraikan. Air nescafe yang masih berasap itu kemudiannya dihirup perlahan-lahan. Dari tempat duduknya Zarif dapat melihat Bandar Indera yang mulai sibuk walaupun hari tersebut adalah hari Ahad. Zarif tidak berminat dengan semua itu. Fikirannya kembali terbang dan hinggap di wajah seorang perawan desa yang dikenalinya beberapa bulan lalu. Pertemuan yang tidak disengajakan itu berlaku di sebuah kedai buku ketika dia mencari bahan bacaan yang dapat memenuhi masa lapangnya. Tanpa disengajakan dia terlanggar gadis tersebut dan menyebabkan buku-buku yang dipegangnya jatuh bertaburan di atas lantai. Rasa bersalah menyelubungi hatinya dan dengan segera dia menunduk untuk mengutip kembali buku-buku tersebut. Tatkala Zarif kembali mengangkat wajahnya dan menghulurkan buku-buku tersebut kepada si gadis, dia terkesima. Pandangannya ditancapkan pada wajah si gadis sehingga pipinya bertukar menjadi kemerah-merahan. “Maaf encik, boleh saya dapatkan kembali buku-buku itu?”, soal si gadis apabila melihat lelaki dihadapannya itu memandangnya tanpa berkelip. “Oh, maaf! Maafkan saya kerana terlanggar awak tadi. Saya agak terburu-buru kerana mengejar waktu”. “Tidak mengapa, saya tidak salahkan encik, saya juga bersalah”. “By the way, saya Zarif”, Zarif menghulurkan salam perkenalan buat si gadis yang hampir membuatkan jantungnya berhenti berdenyut. “Saya Zulaikha”, ujar si gadis sambil menghadiahkan sebuah senyuman manis. Wajahnya yang kemerah-merahan tampak cantik apabila diserikan dengan sepasang lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Pertemuan pada petang itu berakhir apabila mereka saling bertukar nombor telefon. Zulaikha, seorang gadis desa yang tinggal di sebuah kampung yang terletak kira-kira 25 km dari Bandar Indera. Wajahnya yang halus dan gebu tanpa dicemari dengan kesan-kesan parut beserta seulas bibir yang mungil menambahkan kecantikan yang dimiliki. Sepasang iris berwarna hitam pekat dilihat bersinar umpama bintang kejora di ufuk timur serta mampu meluluhkan jiwa sesiapa yang memandangnya. “Zulaikha”, tanpa disedari nama itu meluncur keluar dari sepasang bibirnya.

Kalau itu takdirnya...2

“Mama mahu Zarif memikirkan untuk berumahtangga. Mama dan papa sudah lama menunggu untuk melihat Zarif melangkah ke jinjang pelamin. Kami pun sudah tua, hanya Zarif seorang permata hati kami. Rasanya sudah tiba masanya untuk mama dan papa bermain dengan cucu pula”, Datin Rindiani memulakan perbualan sambil matanya diarahkan kepada anak tunggalnya itu untuk mencari reaksinya. “Zarif masih belum mempunyai pilihan hatilah mama”, balas Zarif seolah-olah mengelak daripada isu yang ditimbulkan oleh mamanya. Datuk Syakir hanya membisu mendengarkan perbualan anak dan isterinya kerana dia menumpukan perhatian kepada akhbar yang berada di tangannya. Baginya, isu-isu yang terdapat dalam akhbar tersebut lebih menarik berbanding isu yang ditimbulkan oleh isterinya yang tidak henti-henti memujuk anak mereka supaya mendirikan rumah tangga. “Kalau Zarif masih belum mempunyai calon, jangan bimbang. Mama sudah pun mencarikan calon isteri untuk Zarif dan mama yakin dia mampu membahagiakan Zarif dan menyenangkan hati mama dan papa”. Kenyataan mamanya itu hampir membuatkan Zarif tersedak namun wajahnya cuba menyembunyikan debaran yang memukul dadanya. “Siapa pilihan mama itu?”. “Sharina, anak perempuan tunggal Tan Sri Zaki dan Puan Sri Maria. Dia baru sahaja pulang dari luar negara. Mama rasa tentu Zarif masih ingat padanya bukan? Waktu kecil dulu Zarif dan Sha sering bermain dan kemana-mana bersama”. Ujar Datin Rindiani sambil menyuapkan makaroni bakar itu ke mulutnya. “Mama berharap sangat Zarif tidak mengecewakan harapan mama dan papa ini”, tambahnya lagi. Zarif hanya membisu seribu bahasa.

Sunday, November 1, 2009

Kalau itu takdirnya..1

Rumah banglo dua tingkat bercat kuning terang itu kelihatan tersergam megah di atas Bukit Mahkota. Sekeliling rumah itu dipagari dengan pagar kayu berukiran cantik yang diperbuat daripada kayu berketahanan tinggi yang sering menjadi pilihan iaitu kayu jati. Ukiran yang bermotifkan flora itu diukir oleh tukang yang berkemahiran sehingga menyerlahkan nilai-nilai keseniannya. Dari atas bukit itu jelas kelihatan Bandar Indera yang sentiasa sibuk dengan aktiviti-aktiviti manusia yang tidak pernah berkesudahan. Di situlah keluarga Datuk Syakir bermastautin sejak 25 tahun yang lalu. Kelihatan anak tunggal Datuk Syakir yang bernama Zarif sedang duduk termenung di sebuah meja yang diletakkan di dalam taman milik keluarga mereka yang terletak bersebelahan rumah. Pandangannya dilemparkan ke arah air terjun buatan yang terletak di sudut taman itu. Lama. Di sekeliling kawasan air terjun itu ditanam dengan bunga mawar pelbagai warna berselang-seli dengan tumbuhan hijau lainnya. Zarif sedia maklum bahawa pokok-pokok bunga tersebut ditanam oleh mamanya yang meminati tumbuhan berbunga. Pawana yang berhembus lembut pada pagi itu mampu memberi ketenangan jiwa. Namun kedinginan pagi itu tidak mampu untuk meredakan perasaan Zarif yang bergolak hebat di dalam dirinya. Fikirannya mengimbas kembali kepada perbualan bersama mamanya usai solat Subuh sebentar tadi ketika mereka bersama-sama sedang menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh pembantu rumah mereka.

Teman-temanku...

Friendship never ending!



Azlina..Anak imam yang seorang ini ku sangkakan pendiam, tetapi rupanya periang juga. Agak 'cool' jika dibandingkan dengan kami bertiga. Tetapi kalau dah ketawa sampai berair mata dibuatnya!


Nazihah..Temanku yang seorang ini agak kelakar orangnya. Bersifat selamba dan sering menyebabkan kami ketawa berdekah-dekah. Kami sering tak kering gusi apabila sudah berkumpul bersama..hehe







Aisyah..Gadis Sri Medan ini dikatakan mirip wajahku. Orang luar mentafsirkan kami sebagai kembar. Benarkah wajah kami ada persamaan? Emm..puas difikirkan, dimanakah letaknya keseirasan itu.