Sunday, November 8, 2009

Kalau itu takdirnya...7

“Mama tak setuju dan mama tak izinkan Zarif berkahwin dengan perempuan kampung itu!”, Datin Rindiani meledakkan kemarahannya apabila Zarif menyuarakan hasrat untuk memperisterikan Zulaikha. “Apa kurangnya Sha dan apa lebihnya budak kampung ini? Mama tak percaya Zarif boleh hidup bahagia dengannya. Apa yang budak kampung ini ada sehinggakan Zarif menolak pilihan mama? Dia tak setaraf dengan kita, entah dari mana asal-usulnya. Entah di mana Zarif pungut budak itu!”. “Mama! Mama tak berhak untuk menghina Zulaikha, dia juga seorang manusia yang punya hati dan perasaan”, ujar Zarif sambil mukanya merah menahan marah. Padanya mamanya itu sudah keterlaluan dan tidak boleh dibiarkan. Matanya memandang ke arah Zulaikha yang duduk di atas sofa berhampiran dengannya. Zulaikha hanya menunduk memandang karpet berbulu tebal yang diimport dari Itali itu. Sofa lembut yang mengalas punggungnya dirasakan keras seperti batu. Dia tidak betah untuk berlama-lama di situ. Namun rasa hormatnya yang masih menebal kepada tuan rumah menahannya daripada berlari keluar dari rumah itu. Terasa maruahnya seperti dipijak. Lumat. “Entah-entah budak ini sudah bomohkan Zarif agaknya”, Datin Rindiani masih belum puas. Hatinya sakit melihatkan budak perempuan itu yang hanya tunduk sahaja. “Tidak tahu malu”, getus hatinya lagi. “Sudahlah mama. Zarif tetap dengan keputusan ini dan Zarif tidak akan berganjak daripada pendirian Zarif. Keputusan Zarif muktamad dan Zarif tetap mahu mengambil Zulaikha sebagai isteri yang sah”, Zarif bersuara tenang kali ini. Pada fikirannya api yang sedang marak tidak seharusnya disimbah dengan minyak. Hanya akan menambahkan lagi kemarakkannya. Datin Rindiani terduduk mendengarkan kata-kata yang muncul dari bibir anaknya itu. Matanya merenung tajam ke arah mereka berdua. Keputusan Zarif itu seolah-olah mencabar kewibawaannya sebagai seorang ibu. Padanya anaknya itu perlu menuruti setiap keputusan yang diputuskan olehnya. Dadanya berombak menahan kemarahan yang sedang bermaharajalela dalam dirinya. “Mama tidak akan merestui perhubungan ini walau apa juga alasan yang Zarif kemukakan. Mama tidak mahu bermenantukan orang kampung yang tidak setaraf dengan kita. Mana mama nak letak muka nanti? Anak tunggal Datin Rindiani berkahwin dengan seorang perempuan kampung? Ah, perkara sebegitu tidak akan terjadi. Mama dan papa dikenali ramai, pasti kami akan mendapat malu jika perkara ini tersebar”, tempik Datin Rindiani. Kemarahannya tidak dapat dibendung lagi. Umpama gunung berapi yang memuntahkan laharnya, tidak memperdulikan kerosakan yang dialami di sepanjang laluannya. Alat penghawa dingin yang beroperasi pada suhu 16 darjah celsius di ruang tamu utama itu tidak mampu untuk menyejukkan hati Datin Rindiani yang sedang panas membara. Datuk Syakir hanya memandang telatah isterinya yang begitu menjelikkan itu. Isterinya sudah melampau. Berkata dan marah mengikut hatinya sahaja tanpa mempedulikan perasaan orang lain terutama perasaan Zulaikha sebagai tetamu mereka.

No comments:

Post a Comment