Monday, November 2, 2009

Kalau itu takdirnya...3

Keinginan mamanya itu benar-benar membuatkan fikiran Zarif seolah-olah umpama jaring yang berselirat dan begitu payah untuk dileraikan. Air nescafe yang masih berasap itu kemudiannya dihirup perlahan-lahan. Dari tempat duduknya Zarif dapat melihat Bandar Indera yang mulai sibuk walaupun hari tersebut adalah hari Ahad. Zarif tidak berminat dengan semua itu. Fikirannya kembali terbang dan hinggap di wajah seorang perawan desa yang dikenalinya beberapa bulan lalu. Pertemuan yang tidak disengajakan itu berlaku di sebuah kedai buku ketika dia mencari bahan bacaan yang dapat memenuhi masa lapangnya. Tanpa disengajakan dia terlanggar gadis tersebut dan menyebabkan buku-buku yang dipegangnya jatuh bertaburan di atas lantai. Rasa bersalah menyelubungi hatinya dan dengan segera dia menunduk untuk mengutip kembali buku-buku tersebut. Tatkala Zarif kembali mengangkat wajahnya dan menghulurkan buku-buku tersebut kepada si gadis, dia terkesima. Pandangannya ditancapkan pada wajah si gadis sehingga pipinya bertukar menjadi kemerah-merahan. “Maaf encik, boleh saya dapatkan kembali buku-buku itu?”, soal si gadis apabila melihat lelaki dihadapannya itu memandangnya tanpa berkelip. “Oh, maaf! Maafkan saya kerana terlanggar awak tadi. Saya agak terburu-buru kerana mengejar waktu”. “Tidak mengapa, saya tidak salahkan encik, saya juga bersalah”. “By the way, saya Zarif”, Zarif menghulurkan salam perkenalan buat si gadis yang hampir membuatkan jantungnya berhenti berdenyut. “Saya Zulaikha”, ujar si gadis sambil menghadiahkan sebuah senyuman manis. Wajahnya yang kemerah-merahan tampak cantik apabila diserikan dengan sepasang lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Pertemuan pada petang itu berakhir apabila mereka saling bertukar nombor telefon. Zulaikha, seorang gadis desa yang tinggal di sebuah kampung yang terletak kira-kira 25 km dari Bandar Indera. Wajahnya yang halus dan gebu tanpa dicemari dengan kesan-kesan parut beserta seulas bibir yang mungil menambahkan kecantikan yang dimiliki. Sepasang iris berwarna hitam pekat dilihat bersinar umpama bintang kejora di ufuk timur serta mampu meluluhkan jiwa sesiapa yang memandangnya. “Zulaikha”, tanpa disedari nama itu meluncur keluar dari sepasang bibirnya.

No comments:

Post a Comment