Tuesday, November 3, 2009

Kalau itu takdirnya...5

“Alhamdulillah, murah benar rezeki saya hari ini. Kenyang saya dibuatnya”, Zarif berkata kepada ibu Zulaikha sambil pandangannya dilemparkan ke halaman rumah. Kelihatan tiga ekor ayam kampung yang sedang mengais-ngais tanah, mencari cacing tentunya. Pawana yang bertiup sepoi-sepoi bahasa terasa begitu menenangkan. Ditambah pula dengan persekitaran rumah yang redup kerana dilindungi oleh pepohon buah-buahan, begitu mendamaikan. Zarif dapat merasakan udara yang segar melalui paru-parunya, jauh bezanya dengan udara kota yang saban hari dihirup yang pastinya mengandungi partikel-partikel pencemar yang mampu menjejaskan kesihatan. “Saya sebenarnya ada sesuatu perkara yang ingin diberitahu dan dibincangkan dengan mak cik”, Zarif memulakan bicara. Ketika itu Zulaikha sedang sibuk mengemas di dapur rumahnya. Mak cik Milah segera mengalihkan pandangannya ke arah Zarif. Wajah anak muda itu ditenungnya. Lama. Zarif berkira-kira sama ada mahu meneruskan niatnya atau tidak. “ Perkara apa yang ingin Zarif bincangkan dengan mak cik?”, aju mak cik Milah. Suara mak cik Milah yang lembut itu mengembalikan keyakinan Zarif untuk menyuarakan hasrat yang selama ini terpendam di lubuk hatinya. Nafasnya ditarik dalam-dalam dan dihembuskan dengan perlahan. Mak cik Milah masih menanti dengan sabar. “Sebenarnya saya ingin menyunting sekuntum bunga yang sedang mekar berkembang di dalam taman di rumah ini. Saya ingin sekali memperisterikan Zulaikha dan saya ingin menjadikan dirinya yang halal buat saya”, akhirnya terluah juga hasratnya itu. “Saya telah jatuh hati kepadanya saat pertama kali kami bertentang mata. Dan sejak itu saya merasakan kasih sayang dan cinta saya semakin mekar untuk Zulaikha. Jika mak cik izinkan, saya ingin memperisterikan Zulaikha”, sambungnya lagi. Mak cik Milah hanya memandang Zarif dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Benar sangkaannya selama ini. Hati tuanya tidak pernah menipu dan tidak pernah terkhilaf dalam mentafsir anak muda itu. Kebimbangannya kini menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment