Monday, November 9, 2009

Kalau itu takdirnya...episod akhir..

Peristiwa itu sudah hampir setahun berlalu. Namun semuanya masih segar di ingatan seolah-olah baru semalam terjadi episod duka tersebut. Selang beberapa hari selepas kejadian itu Zarif menerima sepucuk surat daripada Zulaikha. Sepucuk surat yang sangat meruntun hatinya. Sepucuk surat yang menyebabkan air mata lelakinya tumpah jua. Sepucuk surat itu juga menjadi pemusnah kepada impian yang disulamnya selama ini, impian untuk bersama-sama Zulaikha hingga ke akhir hayat mereka berdua. Dan sepucuk surat itu menyebabkan Zarif mengambil keputusan untuk meninggalkan tanah air dan merantau ke negara orang. Kepedihan yang ditanggung cuba diluputkan dari ruang ingatan, namun sesekali rasa rindu itu datang menjengah kamar hatinya, menyebabkan jiwanya diruntun kepiluan. “Ika, Zarif terlalu merindui dirimu”, tanpa disedari kalimat itu terbit dari bibirnya disertai dengan setitis airmata yang tumpah dari tubir matanya. Dan sepucuk surat itu tergenggam erat di tangannya.

Zarif yang disayangi,

Rasanya tidak perlu kita teruskan hubungan ini jika tidak mendapat restu daripada ibumu. Ika juga menyayangi Zarif, namun takdir tidak membenarkan kita bersama sebagaimana yang kita impikan. Ika tidak sanggup menjadi pemusnah kepada hubungan seorang ibu dan anak. Ika tidak mahu Zarif menjadi anak derhaka. Ibu sering berpesan kepada Ika, syurga dan keredhaan seorang anak itu letaknya di bawah telapak kaki ibunya. Keputusan ini adalah yang terbaik untuk kita. Ika juga merasakan keperitannya, tetapi Ika redha dengan qada dan qadar yang telah ditentukan untuk kita sejak azali lagi. Mencintai tidak semestinya beerti kita akan memiliki. Izinkan Ika untuk terus menyayangi Zarif dan Ika akan simpan semua kenangan indah yang kita lalui berdua sehingga ke akhir hayat. Terima kasih untuk segalanya Zarif. Halalkan apa juga yang pernah Zarif berikan kepada Ika. Ika sentiasa mendoakan agar Zarif dipertemukan dengan wanita yang mampu membahagiakan Zarif dan kedua ibu bapamu. Lupakan Ika untuk selamanya. Takdir yang menemukan kita, takdir juga yang berhak memisahkan kita. Selamat tinggal Zarif. Maafkan Ika...
Ika.
Air mata lelakinya tumpah lagi tatkala membaca surat itu entah untuk ke berapa kali. Zulaikha!

No comments:

Post a Comment