Sunday, November 8, 2009

Kalau itu takdirnya...6

Bukan dia tidak sukakan Zarif. Dia juga tidak menghalang jika Zarif mempunyai perasaan terhadap anak gadisnya. Cuma yang menjadi pokok kebimbangannya ialah status mereka yang terlalu jauh bezanya. Umpama langit dan bumi. Masakan kedua ibu bapa Zarif yang tergolong dalam golongan elit itu mahu berbesan dengannya yang hanya seorang perempuan tua yang tidak mempunyai apa-apa harta itu? Nafasnya dihela dengan perlahan. Fikirannya ligat mencari kata-kata terbaik yang akan diutarakan kepada Zarif. Perlakuannya itu menimbulkan tanda tanya di hati Zarif. Otaknya pantas mentafsirkan ada sesuatu yang sedang membelenggu fikiran ibu tua itu. “Mak cik menghargai perasaan Zarif terhadap Zulaikha. Mak cik juga berbesar hati kiranya Zarif sudi memperisterikan Zulaikha dan menjadi menantu di rumah ini”, ujar mak cik Milah. Dilihatnya Zarif tetap sabar menantikan bait-bait kata seterusnya. “Mak cik bimbang tentang penerimaan kedua ibu bapa Zarif mengenai hal ini. Maklum sahaja, kami hanyalah penduduk kampung yang serba kekurangan, terlalu jauh bezanya dengan keluarga Zarif. Mak cik cuma tidak mahu hati Zulaikha dikecewakan dengan hal-hal seperti ini. Zarif umpama enggang, Zulaikha hanyalah pipit yang sehingga bila-bila pun tidak mampu terbang seiring bersama enggang”. Zarif hanya terdiam mendengarkan kata-kata yang terbit dari mulut mak cik Milah. “Saya yakin dengan perasaan dan keputusan saya mak cik. Saya cinta akan dia bukan kerana harta tetapi kerana ketulusan hati dan kesantunan budi bahasa yang dimilikinya. Saya yakin dia akan membahagiakan saya. Tentang papa dan mama, janganlah mak cik bimbangkan. Saya akan bincangkan hal ini dengan mereka. Saya hanya perlukan restu daripada mak cik. Restuilah hasrat saya ini”, ujar Zarif dengan yakin. Mak cik Milah tidak mampu berkata apa-apa. Zarif dilihatnya begitu bersungguh-sungguh dan yakin dengan keputusan yang diambilnya. “Jika Zarif sudah berkata sedemikian, mak cik menurut sahaja kerana mak cik yakin Zarif mampu membahagiakan Zulaikha. Hanya satu yang mak cik pinta, janganlah Zarif menghancurkan perasaan dan hati Zulaikha kerana mak cik tidak sanggup melihat dia bersedih”, ujar mak cik Milah. “Terima kasih kerana merestui niat suci saya ini, saya berjanji akan menjaga Zulaikha dan membahagiakannya selagi hayat dikandung badan”. Mak cik Milah hanya tersenyum tawar, hati tuanya begitu bimbang. Namun sebagai ibu dia tetap mendoakan yang terbaik untuk anak gadisnya itu. Semoga akan ada sinar kebahagiaan yang menanti mereka. Di sebalik pintu kelihatan Zulaikha tersenyum sendirian.

No comments:

Post a Comment