Wednesday, October 28, 2009

“Abang, agaknya berapa orang anak yang abang impikan untuk menyerikan mahligai yang kita bina ini?”, Teja bersuara sambil tangannya mengusap lembut rambut suaminya yang ketika itu sedang berbaring di ribanya. “Emm. Berapa ramai agaknya yang Teja sudi lahirkan untuk abang?”, tangannya pantas mencubit pipi isteri yang sedang tersenyum memandangnya. “Berapa pun yang abang inginkan, Teja akan tunaikan dengan keizinan Allah S.W.T. Emm. Kalau lagi ramai lagi bagus kan abang? Mesti meriah rumah kita dengan suara dan gelagat anak-anak”. “Ya sayang, abang juga mengimpikan keluarga yang besar. Dan abang pasti kita akan hidup bahagia sebagai sebuah keluarga”. “Tapi...”. “Tapi apa sayang? Ada apa-apa masalahkah yang bersarang di fikiran sayang? Luahkanlah kepada abang”. “Ehmm. Bagaimana agaknya jika Teja tidak berkesempatan untuk menunaikan impian kita itu?”. Soalan yang terbit dari bibir mungil Teja benar-benar memeranjatkan Tuah. Namun perasaannya yang berkocak cuba disembunyikan dengan menghadiahkan sebuah senyuman. Lantas tangannya memegang erat jari-jemari isterinya. “Sayang, jodoh pertemuan, ajal dan maut terletak di tangan Tuhan. Sebagai hambanya kita hanya mampu merancang tetapi hanya Dia yang berhak menentukan. Abang tak mahu perkara seperti ini mengganggu-gugat kebahagiaan yang kita kecapi kini. Kita berusaha dan berserah sahajalah kepada Allah S.W.T kerana Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Abang sayangkan Teja dan abang rela berbuat apa sahaja untuk melihat Teja kembali sembuh seperti sedia kala”, hatinya sebak tatkala menuturkan kata-kata itu. Dia perlu kuat untuk menghadapi dugaan yang datang. Dan sebagai lelaki serta seorang suami, dia perlu menunjukkan sikap yang positif walau dalamannya begitu rapuh dan mampu pecah berderai pada bila-bila masa sahaja. “Jangan menangis lagi ya sayang. Abang sentiasa bersama Teja walau dalam apa jua keadaan sekalipun”, ujarnya sambil menyapu lembut pipi isterinya yang sudah mula dibasahi mutiara jernih.
bersambung...

No comments:

Post a Comment