Monday, October 26, 2009

Dadanya kelihatan turun naik akibat aturan pernafasan yang tidak teratur. Nafasnya terasa sesak apabila terkenangkan wanita yang dituduh menjalankan aktiviti pengedaran dadah itu. Menurut maklumat yang diterima daripada anggota bawahannya, wanita itu diberkas ketika sedang mengedarkan dadah kepada salah seorang pelanggannya di sebuah lorong berdekatan bangunan rumah kedai di Bandar Jengka. Ketika ditahan, turut dijumpai bersamanya adalah dadah jenis heroin seberat 2983 gram yang tersimpan di dalam beberapa bungkusan di dalam beg sandangnya. Tuah difahamkan pemilik wajah persis arwah isterinya itu bernama Teh Janasari. Nama mereka juga seakan-akan sama. “Ya Allah, kebetulan apakah ini? Kenapa aku harus melalui detik-detik sukar seperti ini?” gumamnya sendirian. Pandangannya dihalakan pula ke langit. Tidak kelihatan walau sebutir bintang pun yang kebiasaannya berkerlipan menghiasi dada langit. Bulan juga seolah-olah malu untuk menunjukkan wajah. Malam yang kelam itu seolah-olah cerminan jiwanya yang turut suram dan tidak bermaya. Jika disabitkan kesalahan wanita itu bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati mandatori mengikut hukuman yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1957. Sanggupkah dia melihat wanita yang mengembalikan ingatannya kepada arwah isterinya itu dihukum gantung? “Arghhhh”, Tuah menjerit perlahan. Sayup-sayup terdengar suara pungguk yang berlagu hiba seolah-olah meratapi kehilangan bulan yang tidak kelihatan berselang-seli dengan suara cengkerik yang menyerikan malam yang suram.

No comments:

Post a Comment