Wednesday, October 21, 2009

“Baiklah, mari kita mulakan,” suara Inspektor Tuah yang agak lantang itu bergema di dalam bilik kecil yang memuatkan tertuduh yang ingin disoal-siasat tersebut. Turut bersamanya adalah dua orang anggota polis yang memberkas tertuduh ketika serbuan dijalankan. “Dari mana kamu mendapat bekalan dadah ini?” Si tertuduh hanya tunduk mendiamkan diri. “Sudah berapa lama kamu menjalankan aktiviti pengedaran ini?” Sikap mendiamkan diri wanita tersebut benar-benar menjengkelkan Tuah. “Saya sedang bercakap dengan kamu”, ujar Tuah dengan lantang sambil tangannya menepuk meja dengan kuat. Suaranya yang ibarat petir itu mengejutkan wanita yang sedari tadi hanya tunduk mendiamkan diri tanpa sepatah kata. Perlahan-lahan wajahnya diangkat dan matanya dengan berani menentang mata Tuah yang kelihatan kemerahan akibat terlalu marah dengan sikap wanita itu yang tidak mahu memberikan kerjasama. Namun semua itu adalah perkara biasa yang sering terjadi dalam sesi soal-siasat. Tidak semua penjenayah mahu memberikan kerjasama termasuklah wanita yang kini berada di depan matanya. Tatkala wajahnya diangkat, Tuah terkesima. Benarkah apa yang sedang dilihatnya kini? Atau dia hanya bermimpi di siang hari? Atau dia dikuasai imaginasinya yang tiada henti-henti? Tidak. Dia bukan bermimpi, bukan juga berimaginasi, dia masih berpijak di bumi yang nyata dan fikirannya masih waras. Apa yang terhidang di depan matanya kini adalah satu realiti. Tidak mungkin dia bermimpi. Tidak mungkin! Wajah wanita itu seiras dengan wajah milik insan yang paling dikasihinya. Saling tak tumpah. Persis sekali. “Teja!”, seakan-akan suara tersebut bergema di dalam dadanya, melalui segenap urat saraf dan hampir membuatkan otaknya hilang kewarasan. “Tuan, tuan tak apa-apa?”, suara Konstabel Azmi memecahkan tembok kesunyian yang sedari tadi melingkari bilik kecil itu. Suara itu juga mengembalikan Tuah ke alam nyata. “Kita tangguhkan buat sementara waktu sesi soal siasat ini. Pastikan waktu tahanan remannya dilanjutkan untuk kita jalankan siasatan”, arahnya kepada Konstabel Azmi yang kelihatan terpinga-pinga mendengar arahan ketuanya yang secara tiba-tiba itu. “Baiklah”, ujar Konstabel Azmi sambil menyuruh seorang anggota polis wanita yang turut berada di dalam bilik itu membawa tertuduh keluar.
bersambung..

No comments:

Post a Comment